Monday, April 7, 2008

Kiamat

Mati ialah kiamat kecil sebelum semua orang dihimpunkan dalam kiamat besar bila semua orang sudah mati. Perkembangan pengetahuan sains menunjukkan bahawa dunia semua bergerak kepada kemusnahan, proses dan pergerakan bumi dibuktikan sedang menuju ke arah kehancuran, hanya jangka masa sahaja tidak dapat ditentukan bilakah kemusnahan sebenar akan berlaku.
Orang bercakap soal paras suhu yang semakin meningkat, Panas dunia semakin bertambah, Eropah dan Belanda akan ditenggelami air berikutan pencairan besar-besaran salji di kutub Utara dan Selatan. Sekarang ini, sudah mengubah kebiasaan suhu dunia. Salji didapati berlaku di kawasan yang tak pernah ada salji, begitu juga sebaliknya panas melampaui batas biasa di satu-satu tempat. Semua ini petunjuk kepada manusia yang hendak mengambil pengajaran daripada kejadian-kejadian yang berlaku supaya menginsafi diri.
Manusia akan menemui keadilan sebenarnya. Dalam konteks kehidupan dunia sebenar tidak ada keadilan yang mutlak. Terdapat kes di mana orang ramai merasakan unsur kezaliman sudah berlaku tetapi ianya terlepas daripada pengadilan. Namun keadilan di hari akhirat tidak akan terlepas walaupun sebesar biji zarah. Keadilan yang berbentuk "absolute justice" hanya merupakan milik Allah.
Dalam kesibukan bekerja dan disibukkan lagi dengan banyak aktiviti hidup sehingga terlupa untuk memikirkan perkara-perkara asasi.Melihat dalam diri, suluh dalam minda debu-debu yang pada mulanya nipis menjadi tebal, kelabu dan hitam. Bila sudah menjadi hitam cahaya tidak boleh menembusinya lagi. Konsep ini dipanggil zikrullah. Sentiasa mengingati Allah dan tidak terputus hubungan dengan Allah walau sedetik sekalipun. Walaupun mungkin kita putuskan hubungan tetapi Allah tidak pernah memutuskan hubungan. Kerana itu zikrullah ini boleh membawa manusia kepada proses tazkiyah.
Satu istilah lain ialah refleksi; melihat ke belakang, melihat persekitaran dan boleh juga melihat ke hadapan. Namun proses ini dinamakan Fikrullah. Adunan zikrullah dan fikrullah membolehkan kita melihat ke dalam, ke belakang melalui liku-liku hidup. Pada dasarnya Al-Falah atau kemenangan itu mestilah didasari kepada kualiti dalaman yang melibatkan aqidah dan menghidupkan hati, jiwa dan memotivasikan kendiri dan sebaliknya tidak hanya bergantung kepada intelektual sahaja. Moga-moga kita dapat meningkatkan kesedaran diri kerana sebenarnya kejayaan dan keuntungan adalah berpaksi kepada kualiti diri manusia dan kejiwaannya.

No comments: